‘HALANG’ PEMBUKA JALAN FAHMIE ESMAIL

20:26 Krew Teh Tarik 0 Comments

Anak muda yang bernama Mohd Zulfahmi Esmail berani melangkah diri ke satu audition program realiti terbitan TV3 iaitu Mentor Legend.  Pada asalnya ingin menemani rakannya sahaja tetapi akhirnya dia terpilih ke pentas Mentor Legend untuk menjadi protégé kepada Ajai.




Maka dari situ bermulalah satu fasa baru dalam diri Fahmi.  Dalam usia 26 tahun, dia tidak pernah termimpi untuk beraksi di pentas yang besar ertinya itu untuk permulaan karier barunya. Tidak pernah memasuki mana-mana pertandingan nyanyian kerana di awal usia 20-an, Fahmi bertugas selaku seorang pramugara di Air Asia.  Di waktu pertandingan bermula, dia terpaksa memohon cuti tanpa gaji, demi ingin mencuba nasib.

Ternyata pertaruhan Fahmi dalam bidang seni, tidak terhenti setelah pertandingan berakhir.  Fahmi yang terkenal dengan nada tinggi nyaringnya, dilamar oleh syarikat rakaman Wake The Baby Records di bawah tanggungjawab Ajai.  Setelah selesai tugas sebagai mentor, Ajai kini bertindak selaku penerbit album/lagu Fahmi yang bakal menyusul di pasaran.

Untuk tanda pengenalan dan juga terima kasih kepada semua peminat yang telah bersusah-payah menyokong Fahmi, kini terhasil lah sebuah single yang berjudul HALANG, hasil nukilan sepenuhnya oleh Ajai.



Fahmi apabila ditebak dengan soalan, pandangannya terhadap single tersebut, berkata ‘Sebenarnya, HALANG bukan merupakan demo pertama yang diberikan oleh Abang Ajai.  Sebelum ini saya didengarkan dengan beberapa buah lagu dan kami memilih sebuah lagu lain.  Saya pulang untuk berlatih dan merakamkan lagu tersebut.  Dua hari sebelum rakaman, seperti biasa saya ke studio untuk latihan dan kemudian Abang Ajai memainkan kepada saya sebuah lagu lain iaitu HALANG.  Kata Abang Ajai, kita tukar lagu, ini yang lebih tepat sebagai single pertama saya’ ujar Fahmi panjang lebar.

‘Proses rakaman dilakukan semalaman dan saya cuma ada beberapa hari untuk berlatih lagu baru tersebut.  Tapi alhamdulliah, segalanya berjalan dengan lancar.  Hasil tunjuk ajar Abang Ajai, menyenangkan lagi proses rakaman lagu tersebut dan kini saya sangat bersyukur, impian melahirkan single sudah termakbul’.

HALANG ujar Ajai merupakan sebuah lagu balada yang sangat bersesuaian dengan tone suara Fahmi.  Dalam lagu ini, peminat mampu mendengar kelunakan suara Fahmi yang sebenar.  Inilah dia aset yang Fahmi miliki.  Liriknya pula mengisahkan percintaan yang tidak kesampaian.  Fenomena ini sememangnya lumrah pada insan yang bercinta.  Ada yang sukses dan ada yang terkandas kerana faktor keluarga, agama dan banyak lagi.  ‘Saya juga berharap sekali lagi kolaborasi bersama pihak Warner Music (M) dapat memberikan lagi booster kepada lagu dan aktiviti promosi Fahmi.  Ini merupakan projek hasil usaha sama antara syarikat saya Wake The Baby dan Warner Music Malaysia’ ujar Ajai.

Ucapan terima kasih juga kepada pihak Mentor Legend, pihak media cetak dan elektronik, peminat yang banyak menyokong perjalanan karier Fahmi Esmail.  Semoga terhibur dengan single terbaru beliau yang berjudul HALANG.

Info lagu HALANG.
Penerbit/Ciptaan Lagu & Lirik:  Ajai/Lirik
Susunan Muzik:  Alfa Booty & Bard Muffins.

0 comments: