BMW GROUP MALAYSIA PERKENAL PROGRAM 'BMW SAFETY 360º', BMW 1 SERIES & BMW 2 SERIES GRAN TOURER BARU

16:13 Krew Teh Tarik 0 Comments

BMW Group Malaysia baru-baru ini memperkenalkan siri kedua  program BMW Safety 360º serta dua model baharu BMW – model pemasangan tempatan BMW 1 Series dan BMW 2 Series Gran Tourer serba baharu sempena acara Cooler Lumpur Festival kali ketiga.




Pengarah Urusan dan Ketua pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata, “Selaku jenama peneraju bagi pasaran automotif premium, kami komited dalam mengutamakan aspek keselamatan para pemandu dan penumpang kami, pada masa yang sama menawarkan keseronokan pemanduan sebenar kepada mereka. Menerusi kempen BMW Safety 360º, kami ingin meningkatkan kesedaran, mewujudkan perbincangan dan tindakan mengenai perlunya para penguna jalan raya di Malaysia untuk mendapatkan teknologi serta penyelesaian dalam kenderaan mereka. Selain memiliki etiket dan sikap yang betul demi memastikan mereka kekal selamat ketika berada di atas jalan raya.”

Harris turut menyatakan bahawa program BMW Safety 360º pada acara Cooler Lumpur Festival 2015 merupakan langkah susulan kepada kempen Keselamatan Aktif dan Pasif anjuran BMW Group Malaysia pada tahun lalu bersama pihak BMW Motorrad. Beliau berkata, “Kami memulakan program BMW Safety 360º pada tahun lalu dengan jenama motosikal BMW, memandangkan jumlah tertinggi kemalangan jalan raya di Malaysia  melibatkan penunggang motosikal. Statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) melaporkan, kemalangan melibatkan motosikal pada tahun lalu sahaja merupakan yang paling tinggi iaitu  476,196 dengan 11,000 kes mengakibatkan kematian. Kini, kami memberi penekanan terhadap keselamatan anak-anak di dalam kenderaan. Isu ini sangat penting dan relevan berdasarkan kepada insiden-insiden yang berlaku di jalan raya dalam tempoh beberapa bulan lalu.”



“Kertas Status Bangsa-bangsa Bersatu Berkaitan Keselamatan Jalan Raya di Malaysia pada tahun 2009 menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 61 peratus kanak-kanak berusia bawah 5 tahun terdedah kepada risiko kematian atau mengalami kecederaan serius dalam kemalangan jalan raya yang dilaporkan. Ini jelas membuktikan kanak-kanak yang menggunakan sistem keselamatan boleh mengelak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian jika mereka terlibat dalam kemalangan. Malah, MIROS baru-baru ini melaporkan hanya 7 hingga 9 peratus penumpang memakai memakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang. Justeru, kempen BMW Safety 360º ini bermatlamat menangani isu-isu tersebut, sekali gus membantu golongan ibu bapa dan dewasa secara keseluruhannya supaya lebih bertanggungjawab ke atas aspek keselamatan kanak-kanak ketika berada di atas jalan raya,” Harris.

Program BMW Safety 360º yang berlangsung mulai Jumaat, 12 hingga Ahad, 14 Jun di Publika diadakan sempena acara Cooler Lumpur Festival 2015. Ia bakal menampilkan penceramah jemputan iaitu Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pendidik Keselamatan, Maree Haley. Ia merupakan pertubuhan tidak berasaskan kepada keuntungan yang bertanggungjawab ke atas aspek kesihatan, keselamatan dan pendidikan kanak-kanak serta keluarga.

Dengan pengalaman lebih lima tahun dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, selain membangunkan standard keselamatan, Haley akan menjalankan beberapa siri klinik berkaitan topik tempat duduk kanak-kanak dalam kenderaan. Ia bertujuan berkongsi maklumat mengenai pentingnya memiliki sebuah kerusi kanak-kanak dan bagaimana untuk memasangnya di dalam kenderaan. Ini demi memastikan anak-kanak mendapat perlindungan sewajarnya ketika berada di atas jalan raya.

“Kemalangan jalan raya merupakan antara punca utama kecederaan serius dan kematian dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia. Kanak-kanak yang tidak memakai tali pinggang keledar (duduk di atas kerusi kanak-kanak) mudah tercampak keluar dari kenderaan, terkena impak dengan cermin hadapan, papan pemuka atau bahagian belakang tempat duduk hadapan. Menerusi penggunaan kerusi kanak-kanak, kita boleh mengurangkan risiko kematian sehingga 28 peratus dalam kalangan kanak-kanak berusia 2 hingga 6 tahun berbanding jika hanya menggunakan tali pinggang keledar,” jelas Haley.

Kempen itu turut menyaksikan pengenalan dua kenderaan menarik BMW ke pasaran automotif premium Malaysia - BMW 1 Series yang dipasang tempatan dan BMW 2 Series Gran Tourer serba baharu.  


Tampil dengan ekspresi sporty dan radikal menerusi pakej BMW M Sport yang terdiri daripada Kit Aerodinamik M, stereng M dibalut kulit, suspensi M Sport dan rim aloi M Sport bersaiz 18 inci sebagai ciri standard, BMW 1 Series serba baharu yang dipasang tempatan kini diperkenalkan dalam bentuk BMW 120i M Sport.

Model segmen kompak premium itu menampilkan reka bentuk lebih dinamik bersama elemen gril kidney lebih lebar, lampu utama yang direka semula, lampu nyalaan siang LED, bahagian  belakang dengan rekaan baharu serta dua lampu LED. Jentera itu juga dipasang dengan rangkaian peralatan standard yang lebih komprehensif termasuklah BMW Navigation System Professional bersama Touch Controller, Comfort Access dan kluster instrumen baharu sebagai satu ciri standard.

BMW 2 Series Gran Tourer serba baharu pula merupakan model MPV kompak premium daripada BMW. Mampu memuatkan sehingga tujuh orang penumpang, ia hadir dalam varian BMW 220i Gran Tourer serba baharu. Model terkini BMW itu hadir bersama rekaan BMW yang dinamik, prestasi mengagumkan dan penjimatan bahan api tiada tandingan.

Sebagai sebuah kenderaan berkapasiti tujuh tempat duduk, BMW 2 Series Gran Tourer serba baharu juga menawarkan versatiliti yang unik dan memiliki lebih banyak ruang. Ini membuatkannya sebuah kenderaan ideal untuk keluarga muda yang mempunyai anak. Lebih menarik lagi, tempat duduk baris kedua kenderaan premium daripada BMW ini boleh dipasang dengan tiga kerusi kanak-kanak (dua kerusi sama di tempat duduk baris ketiga), satu ciri unik di dalam sebuah kenderaan premium moden.

Harga anggaran di atas jalan, (tidak termasuk insurans bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had Selama Lima Tahun dan Program Servis Berjadual Secara Percuma BMW Malaysia) adalah seperti berikut:



 
BMW 120i M Sport serba baharu RM 219,800.00
BMW 220i Gran Tourer serba baharu RM 279,800.00



0 comments: