10 PERKARA KLISE DALAM FILEM & DRAMA MELAYU

15:05 Krew Teh Tarik 0 Comments

Memang tidak dinafikan, filem dan drama itu adalah rekaan semata-mata dan bukanlah realiti. Namun begitu, bagi kami, kami lebih gemarkan andaikata mata kami dihidangkan dengan filem-filem yang nampak real dan natural. Tidak banyak filem sebegini, tetapi ada. Bagi kami, filem Manisnya Cinta di Cappadocia mungkin nampak terlalu ‘manis’, tetapi kami sukakannya kerana ia nampak real. Apa yang dipertontonkan adalah natural. Itu pendapat kami.



Namun begitu, banyak juga filem dan drama Melayu yang suka menambah perisa untuk menampakkan lagi filem dan drama tersebut lebih dramatik. Berikut kami rangkumkan 10 perkara klise yang sering dilihat ada dalam filem dan drama Melayu dari dahulu sehingga ke hari ini.

Kampung & Sungai
Kalau set penggambarannya di kampung, lokasi yang sentiasa dilihat adalah pantai, sungai atau sawah. Mungkin mereka ingin menunjukkan suasana kampung yang memang mendamaikan. Mungkin juga mereka ingin menunjukkan bahawa hanya di kampung anda boleh melihat tempat-tempat sebegini.
 Cinta Jadi Tunjang
Kalau sudah namanya filem atau drama Melayu, kisah percintaan merupakan tunjang yang tidak dapat dielakkan. Memang kalau boleh, bercinta sahaja sepanjang jalan cerita. Kalau filem hantu sekalipun, silap-silap mereka akan membuat hantu itu akan bercinta dengan manusia.
 Flashback & Rambut Palsu
Ini salah satu benda wajib yang dipakai oleh watak yang flashback. Mungkin dalam babak flashback, watak tersebut muda daripada karakternya yang utama. Jadi, solusi terbaik untuk nampak muda adalah dengan mengenakan rambut palsu ala kejung.
 Hospital Lokasi Wajib
Satu lagi lokasi wajib untuk filem dan drama Melayu adalah hospital. Mungkin dalam semua jalan cerita, wajib ditonjolkan orang sakit. Daripada drama-drama zaman slot Spektra tayangan TV2 suatu ketika dahulu, sehinggalah drama bersiri online yang ditayangkan di portal-portal hiburan, lokasi ini masih menjadi lokasi wajib.
 Penjahat & Botak
Watak jahat selalunya (tidak semua, tetapi kerap) akan digambarkan sebagai seorang yang botak dan bengis. Tetapi, kalau dalam dunia sebenar, kadangkala yang nampak sopan itu lebih iblis dan syaitonirrojim berbanding yang botak.
 Pembantu Rumah & Mak Jah
Mak Jah memang sinonim dengan watak sebagai pembantu rumah. Bukan sahaja watak ‘Mak Jah’ yang dilakonkan oleh Mak Jah, tetapi juga kadangkala walaupun dilakonkan oleh pelakon lain, nama watak untuk pembantu rumah adalah Mak Jah. Mungkin nampak sesuai dengan nama wanita Melayu lama.
 Mayat Cantik
Pernah beberapa kali kami menonton drama dan filem yang menunjukkan watak utamanya meninggal dunia. Namun begitu, walaupun sudah bergelar jenazah, dia masih tampil anggun, siap dengan solekan serta bulu mata palsu. Untunglah jadi mayat jelita.
 Orang Kaya & Sakit Jantung
Mungkin kerana terlalu kaya, semua watak-watak orang kaya atau ahli korporat akan dikaitkan dengan penyakit jantung. Mungkin selepas ini, penerbit dan pengarah boleh mempertimbangkan cadangan kami untuk menghasilkan watak orang kaya yang berpenyakit diabetes contohnya.
 Gadis Kampung, Baju Kurung & Basikal
Kami pun berasal dari kampung. Namun begitu, rasanya di kampung kami, anak-anak gadis juga sudah pandai mengenakan kemeja-T dan juga berbaju moden serta tampil berseluar. Tetapi, kalau dalam filem dan drama, watak gadis kampung akan tampil dengan baju kurung dari fabrik kapas, dan kadangkala berkain batik. Lebih parah, anak-anak gadis kampung digambarkan sebagai mereka yang mengayuh basikal ke mana sahaja walaupun hakikatnya, sudah ramai gadis yang pandai memandu motosikal.
 Encik, Suami,Isteri, Bla bla bla
Dan yang paling terakhir, muncul di layar lebar dan kaca televisyen pada hari ini dengan filem serta drama yang menggunakan perkataan seperti ‘Suami’, ‘Isteri’, dan sebagainya. Seingat kami, suatu ketika dahulu, pernah ada sebuah filem berjudul ‘Suami, Isteri dan …’ pada 1996. Ini mungkin kembali menjadi trend.

0 comments: