MOVIE REVIEW: PILOT CAFE

17:08 Krew Teh Tarik 0 Comments

Ada antara anda yang sudah menonton filem Pilot Cafe lakonan Fahrin Ahmad, Neelofa, Izara Aishah, Keith Foo, Remy Ishak dan ramai lagi? Semalam kami berkesempatan menonton filem tersebut dan paling menarik, bintang utama filem ini iaitu Fahrin Ahmad turut bersama-sama kami menonton tayangan filem yang diadakan di GSC Mid Valley.



Filem Pilot Cafe arahan Osman Ali merupakan sebuah filem adaptasi daripada novel nurkilan Ahadiat Akashah, seorang penulis novel yang popular dengan novel-novel, antaranya, Lagenda Budak Setan. Untuk filem ini, mungkin ada sedikit penambahan dan pengurangan mengikut kesesuaian dengan dunia sebenar.

Bermula dengan zaman kanak-kanak watak utama, Ameer lakonan Fahrin Ahmad, Pilot Cafe seterusnya membawa penonton ke alam dewasa Ameer yang bekerja sebagai seorang juruterbang. Kehidupannya memang penuh dengan pergaulan bebas dan kerap kali melakukan perkara yang tidak bermoral.

Mendapat tentangan daripada ibunya, Ameer seterusnya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung dan membina kehidupan sendiri. Selepas sedar akan kesemua kesilapan yang pernah dilakukannya dalam hidup, Ameer berhenti daripada tugasnya sebagai juruterbang dan membuka sebuah restoran yang diberi nama Pilot Cafe.

Dari situlah bermula kehidupan Ameer sebagai seorang jejaka yang masih mencintai bekas kekasihnya, Sharmila lakonan Neelofa dan bertemu dengan Maya, lakonan Izara Aishah. Dari situ, kedua-duanya meneruskan kehidupan dan pada masa yang sama, masih mengejar cinta yang tersemat di hati masing-masing.

Untuk filem ini, kami mengagumi lakonan mantap daripada Izara Aishah. Setiap babak dilakonkannya dengan sangat berjaya. Ekspresi wajah, nada suara, serta intonasinya memang benar-benar kena dengan jiwa Maya dalam Pilot Cafe.

Jalan ceritanya sedikit perlahan, namun sedikit sebanyak mengingatkan kami kepada filem Ombak Rindu yang pernah ‘meletup’ suatu ketika dahulu, dan juga filem Suamiku Encik Perfect 10. Ada babak-babak yang kami rasakan terlalu meleret-leret sehingga membuatkan mata seperti hendak terlelap.

Apa pun, kami berikan 2.5 bintang kepada filem ini. Kepada yang belum sempat menonton, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem cinta ini. Kami kongsikan bersama anda sedikit trailer daripada filem Pilot Cafe, dan juga video muzik lagu runut bunyi filem ini, yang berjudul Untuk Cinta dendangan Hafiz Suip dan Adira.


0 comments: