TV3, AIR ASIA DAN ALTEL TUNAI HASRAT UNGKU ISMAIL AZIZ MENERUSI KEMPEN 'TRAVELLING BERUANG'
Dari sebuah telemovie ke sebuah kempen besar dan bermakna... itulah permulaan kepada kempen Travelling Beruang anjuran TV3. Pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri Akasia: Teman Lelaki Upahan, Ungku Ismail Aziz yang pada mulanya ditawarkan memegang watak seorang ayah yang ingin menunaikan seorang impian kanak-kanak kanser dalam sebuah telefilem TV3. Namun kini ianya bukan sekadar telefilem tetapi bakal mengukir siri perjalanan penuh inspirasi.Pertemuannya dengan adik Nur Hasmime Abdul Hamid (Mime) setelah menonton salah satu episod menerusi rancangan Bersamamu di portal Tonton ternyata membuka hati pelakon itu untuk membuat sesuatu yang lebih bermakna. Lantas Kempen Travelling Beruang diwujudkan sempena telemovie tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser di kalangan kanak-kanak.
Ungku Ismail Aziz memulakan inisiatifnya secara kecil-kecilan dengan berkongsi informasi menerusi instagram (@ungkuismailaziz) serta meminta pengikut instagram bergambar mengenakan topeng muka yang sering dipakai pesakit kanser untuk tujuan kebersihan.
TV3 yang tertarik dengan inisiatif Ungku Ismail Aziz itu telah menemubual pelakon itu menerusi Malaysia Hari Ini (MHI) edisi 25 Mei yang lalu dan berjaya menarik keprihatinan badan korporat dalam merealisasikan kempen ini.
“Kami tersentuh apabila Ungku Ismail Aziz yang pada mulanya diberikan watak dalam telefilem TV3 berjudul Travelling Beruang membuka hatinya dalam memulakan inisiatif ini. Niat ikhlas Ungku membuatkan kami terpanggil untuk memainkan peranan kami sebagai sebuah syarikat media. Kami telah mengadakan perbincangan untuk membawa kempen ini kepada skala yang besar. Alhamdulillah Air Asia dan Altel turut berminat mejayakan kempen ini, kata Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Cik Sherina Nordin.
Menyedari niat murni kempen ini serta bersedia dengan tanggungjawab sosial korporatnya, AirAsia tampil selaku penaja utama manakala Altel sebagai penaja bersama. Kempen Travelling Beruang bertujuan memberi kesedaran mengenai kanser di kalangan kanak-kanak dan secara tidak langsung mengutip dana untuk pesakit seperti adik Mime serta ramai lagi kanak-kanak yang yang menghidapi penyakit kanser di Malaysia. Ini adalah kerana kos perubatan yang besar adalah di antara halangan buat keluarga terlibat untuk mendapatkan kos pembedahan atau perubatan buat anak-anak mereka.
Encik Spencer Lee, Ketua Komersil AirAsia berkata “Kami di AirAsia serta rakan kerja di Tune Insurance amat berbesar hati menjadi sebahagian penaja utama projek Travelling Beruang. Adalah besar harapan kami untuk melihat kempen ini berjaya dan seterusnya membantu kanak-kanak yang menghidapi kanser. Kami juga tidak sabar untuk menerbangkan Ungku Ismail Aziz dan krew produksi ke 7 buah destinasi dalam rangkaian kami”.
“AirAsia juga akan menjual replika patung Travelling Beruang di dalam pesawat, dimana hasil kutipan dana akan disalurkan ke tabung Traveling Beruang untuk membantu kanak-kanak yang menghidapi kanser,” tambah beliau.
Menerusi kempen yang akan berlangsung bermula Jun 2015 itu, Ungku Ismail akan mengembara ke tujuh buah destinasi bersama patung beruang yang pernah dihadiahkan kepada adik Mime. Memahami keadaan adik Mime, patung beruang itu bakal menjadikan simbol harapan bukan sahaja kepada dirinya malah kanak-kanak lain yang mengalami nasib sama. Patung Travelling Beruang itu dijangka akan di bawa ke 7 buah destinasi seperti Perth (Australia), Lombok (Indonesia), Siam Reap (Kemboja), Chongqing (China), Ho Chi Minh (Vietnam) dan beberapa lagi lokasi.
Perjalanan penuh inspirasi itu akan dikemaskini di laman rasmi Travelling Beruang serta kapsul ringkas menerusi TV3. Kempen yang akan berlangsung sepanjang tahun itu juga mengharapkan sumbangan ikhlas rakyat Malaysia malah dunia menerusi sebuah tabung khas. Tabung yang dinamakan Travelling Beruang MAKNA akan mengutip dana buat keperluan kanak-kanak penghidap kanser di Malaysia yang memerlukan menerusi kerjasama Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Tabung Travelling Beruang MAKNA di 5140 7561 6705 (Maybank). Maklumat lanjut boleh didapati di laman website rasmi www.travellingberuang.com.my.
0 comments: