'POTRAITS' DEDAH LEGASI SENI KARYA JURUGAMBAR AMRI GINANG

18:16 Krew Teh Tarik 0 Comments

Kepada yang tidak mengenalinya, nama Amri Ginang mungkin sedikit asing. Namun begitu, bagi peminat seni fotografi, namanya memang sinonim dan bakatnya dalam berkarya memang tidak dinafikan.

Baru-baru ini, figura ini telah mempersembahkan POTRAITS yang merupakan hasil karya potret yang memaparkan lebih daripada 180 imej dalam bentuk cetakan, buku berfoto dan juga klip video. Siri ini memaparkan bagaimana trend-trend karya seni dalam bentuk sebegini semakin hari, semakin mendapat tumpuan dari seluruh pelosok dunia.

Subjek yang menjadi pilihan Amri adalah dari pelbagai lapisan kehidupan, termasuklah penyanyi terkemuka tanah air, Anuar Zain, pengarah filem Anwardi Dato' Jamil Sulong, penyanyi lagenda tahun 60-an, Allahyarham Dato' Ahmad Jais, model tanah air yang bertaraf antarabangsa, Yuen, anak seni dengan pelbagai bakat, Joe Young, pemain dram berusia 100 tahun dari Sumatera dan ramai lagi.

Pada siri POTRAITS itu juga turut berlangsung bengkel dan bual bicara mengenai fotografi selama dua hari. Turut tampil sepanjang dua hari adalah Sabrina Benneett yang merupakan Miss Universe Malaysia 2014 sebagai model, jurugambar komersial, Din Arshad, jurugambar perkahwinan, Azam Nuermaya, jurugambar konsert, Ajako Watanabe, jurugambar yang sedang meningkat naik, Kamalia Photolicious dan juga jurugambar kembara, Siu Lin Poon.

Kesemua mereka berbicara mengenai gambar-gambar potret dan berkongsi pengalaman masing-masing dalam bidang fotografi. Para peserta yang mengambil bahagian dalam bengkel dan bual bicara itu turut mendapat bimbingan terus daripada Amri sendiri dan turut menerima bantuan daripada jurusolek dan model.

Acara ini disokong oleh HP. HP Indigo Press 10000 dan HP DesignJet Z6800 merupakan dua buat pencetak yang bertanggungjawab mencetak kesemua hasil karya cetakan berkualiti tinggi sepanjang acara itu berlangsung.










0 comments: